Sunday, February 5, 2017

PERCUTIAN DI JOHOR - KENDURI DAN JALAN-JALAN


Assalamualaikum w.b.t,

Fuh, setahun tak update blog keramat rahishan.com nie. Terima kasih kepada mereka yang masih sudi berkunjung kembali ke blog saya yang dah bersarang nie. Diharapkan pengunjung sentiasa sihat dan dipermudah segala urusan.

Untuk entry kali ini, suka untuk saya menceritakan sekitar perjalanan saya dan rakan-rakan menghadiri majlis perkahwinan rakan satu kampus di Johor. Alang-alang dah sampai Johor, kita jalan-jalan la makan angin.


Perjalanan Bermula...
BERKUMPUL DI RNR BANDAR AINSDALE, NEGERI SEMBILAN

Sebaik sahaja mengetahui akan tarikh perkahwinan yang bakal dilangsungkan ketika cuti umum tahun baru cina, semestinya perancangan awal dan teliti telah dilaksanakan. Menerusi group khas whatsapp yang telah diwujudkan, segala perancangan perjalanan, tempat tinggal serta tempat yang bakal dilawati telahpon disusun.

Memandangkan bukan semua daripada kami yang akan bergerak dari KL, semestinya perkara penting pertama adalah menentukan tempat berkumpul. Kami telah bersetuju berkumpul di RnR Bandar Ainsdale, Negeri Sembilan.

Destinasi pertama kami dari Bandar Ainsdale, Negeri Sembilan ke Kulai Johor, iaitu rumah persinggahan pertama untuk bermalam. Rumah keluarga Syafiq Zakaria yang kami tuju membawa dua rombongan kereta.

ALHAMDULILLAH, REZEKI..MEMANG TENGAH LAPAR SEMUA TU...

Alhamdulillah, perjalanan yang memakan masa hampir empat jam semestinya menyebabkan perut kami kelaparan. Terima kasih kepada keluarga En Zakaria yang telah menyambut kedatangan kami dengan hidangan makan malam. Tidak dilupakan kemudahan penginapan tempat tidur yang telah disediakan. Terima kasih banyak-banyak.


Ke Majlis Akad Nikah..Ayuh
SWAFOTO DI HADAPAN KEDIAMAN EN ZAKARIA, SEBELUM BERANGKAT...

Sebaik sahaja selesai solat subuh, setiap daripada kami mengambil giliran mandi dan bersiap. Sekali lagi kami dijamu dengan makanan sebelum berangkat ke destinasi seterusnya. Kami bergegas keluar awal kerana hajat ingin melihat akad nikah rakan kami yang bakal dilangsungkan.

Destinasi seterusnya adalah Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Johor Bahru dimana lokasi akad nikah dilangsungkan. Walaupon agak tergesa-gesa ke sana, alhamdulillah, sempat sampai sebelum majlis akad nikah dilangsungkan.
SARUNG CINCIN, TERSENYUM MANJA KEDUA-DUA PASANGAN...

Alhamdulillah, dengan dua kali lafaz, maka pasangan Wan Muhamad Izzuddin dan Fathin Farihah sah bergelar suami isteri. Kami teman-teman seperjuangan semestinya mendoakan yang terbaik untuk kedua-dua mempelai. Semoga ikatan yang dibina sehingga ke jannah dan selama-lamanya.
BUAT BENTUK LOVE, PENGARUH KOREA NIE...

Semestinya, kami rakan-rakan tumpang gembira melihat seorang demi seorang rakan semasa di kampus mengakhiri zaman bujangnya. Memang seronok melihat orang lain bahagia dengan harapan kita juga akan mengecapi kebahagian itu suatu hari nanti, insyaAllah.
SELAMAT PENGANTIN BARU, DAH SELAMAT ANGKAT NIKAH DAA...

Selamat maju jaya kepada pasangan WanIzz dan Fathin dalam menempuhi manis getir perjuangan insan berumahtangga. Semoga segala cabaaran mendatang ditempuhi dengan bijaksana.


Makan Dulu Sebelum Makan Lagi...
MORNING TEA BREAK, ORDER TAK NAK KALAH SEMUA...

Sementara menantikan majlis kenduri di waktu tengah hari, masa terluang diisi dengan mengisi perut dengan makanan yang tidak terlalu berat. Kami mengambil keputusan untuk menjejakkan kaki ke Chupchai Cafe & Resto yang terletak berhampiran Bandar Baru Uda.
ANTARA MENU FEMES, KACANG POOL...

Antara makanan yang digemari disini adalah Kacang Pool dan Roti Titab. Kacang Pool adalah roti bakar yang dicicah kuah seakan-akan kacang dhal yang dihidang bersama-sama telur goreng. Manakala roti Titab adalah roti bakar yang diletakkan telur separa masak dibahagian atas tengah dan dikelilingi dengan kaya dipenjuru setiap bucu roti. Boleh tahan juga sedapnya kedua-dua menu ini.


Ayuh Ke Kenduri...
BERSEDIA MENUJU LANGKAH KE DEWAN...

Kami turut mewakili dan mengiringi wakil keluarga pihak lelaki dimana ada diantara kami terbabit secara langsung menjadi pengapit dan pembawa bunga manggar. Perjalanan dari luar dewan menghala ke arah dewan diiringi dengan suara gelak tawa kami disamping alunan paluan kompang.

Sebelum dibenarkan masuk ke dalam dewan untuk bertemu dengan pengantin perempuan, perjalanan kami disekat dihadapan pintu dewan oleh ahli keluarga dan wakil pihak perempuan. Disekat bukan sebab apa, ianya adalah simbolik adat orang Johor dimana pengantin lelaki mesti mengharungi 'tol' sebelum boleh bertemu dengan kekasih hatinya.
PESEMBAHAN SILAT SELEPAS SELESAI TOL PERTAMA...

Saya juga baru mengetahui akan hal ini dan agak terkejut juga. Tidak tahu pula orang Johor ada adat sebegini. Pada hari itu, ada empat sekatan ataupon tol yang harus dilalui oleh wakil pihak lelaki. Tol pertama, kedua-kedua pihak saling berbalas pantun manakala tol-tol seterusnya adalah kecekapan pengapit untuk tawar menawar bagi memastikan pengantin lelaki sampai ke pelamin. 

Masih teringat lagi ketika di sekatan ketiga dimana pengantin lelaki diminta untuk menyanyi dan menari zapin di sekatan keempat. Terasa kelakian tercabar disitu jikalau tidak dapat laksanakan. Semestinya, skil tawar menawar amat ditagih untuk melepasi setiap halangan.
BERGAMBAR ATAS PELAMIN, MUKA ADA SENYUM...

Alhamdulillah, rombongan pihak lelaki selamat sampai ke pelamin menyatukan pengantin lelaki dangan kekasih hatinya selepas keempat-empat tol berjaya diharungi. Sekali lagi kami sebagai teman seperjuangan mengucapkan tahniah dan selamat pengantin baru kepada Wan Izzuddin dan Fathin Farihah.


Ke Forest City Pulak...
SWAFOTO SEBAIK SAHAJA SAMPAI DI FOREST CITY...

Selepas menjamu hidangan yang telah dihidangkan di majlis kenduri, lokasi seterusnya adalah Forest City. Perjalanan dari Bandar Baru Uda ke Forest City mengambil masa lebih kurang 40 minit. Jauh jugak sebenarnya.
SATU DARIPADA REPLIKA HAIWAN YANG ADA DI SINI

Pertama kali menjejakkan kaki ke Forest City sememangnya saya kagum dengan rekaan landskap dan persekitaran Forest City itu sendiri. Memang kemas dan memang cantik.
CANTIK DAN KEMAS DESIGN BUNGAN KAKTUS...

Memandangkan waktu lawatan kami ini adalah dikala cuti umum, sememangnya begitu ramai pengunjung yang turut hadir. Memang sesuai sebagai aktiviti keluarga bersiar-siar sambil menikmati pemandangan dan keindahan landskap di pesisiran pantai.
RAMAI PENGUNJUNG, GERABAK KERETA BERGERAK TURUT DISEDIAKAN...

Namun, landskap cantik ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan projek Forest City. Boleh dilihat daripada modeling landskap yang dipaparkan di Sales Galery, ternyata masih banyak bangunan malah sistem pengangkutan yang bakal dibina.
LUAS BETUL BINAAN KESELURUHAN FOREST CITY NIE...

Setelah puas mengambil gambar dan menikmati pemandangan landskap di Forest City, kami menuju ke destinasi seterusnya. Dah puas jalan-jalan, maka perut pon kembali lapar.


Kilang Bateri Kami Datang...
DESIGN CAFE DAN KEDAI MEMANG HIPSTER HABIS...

Destinasi seterusnya adalah Kilang Bateri yang terletak di Bandar Baru Uda. Memandangkan puas berjalan di Forest City dan tiba di Kilang Bateri kira-kira jam 7.30 malam, maka tibalah masa untuk kami mencari menu makan malam. Setelah selesai makan, maka kami pon bersiar-siar cuci mata.

Kilang Bateri adalah tempat jualan pakaian, gadget, kasut dan sebagainya. Rekaannya adalah seperti uptown jikalau di KL. Cumanya, disini banyak cafe-cafe hipster yang menyajikan pelbagai makanan daripada western sehingga masakan melayu biasa.
BOOT TERPAKAI TURUT DIJUAL DI SINI...
Jikalau hendak mencari cenderamata ataupon barangan bertemakan JDT bolehlah berkunjung ke sini. Pelbagai jenis rekaan baju, keychain, topi dan sebagainya boleh didapati disini. Banyak juga pilihan, tapi saya tak beli pon, tengok sahaja.

Setelah selesai bersiar-siar, maka destinasi seterusnya adalah Kota Tinggi, iaitu rumah nenek Faidsal bagi kami semua menumpang tidur sebelum meneruskan aktiviti seterusnya di esok hari.


Kota Tinggi Waterfall Resort....
SWAFOTO DI HADAPAN AIR TERJUN SEBELUM MANDI...

Keesokan harinya, setelah selesai menjamu sarapan pagi yang telah disediakan oleh nenek Faidsal, perjalanan diteruskan ke kawasan air terjun Kota Tinggi. Kami sampai lebih kurang jam 10 pagi dan tidak begitu ramai pengunjung. Namun, menjelang tengah hari, berpusu-pusu pengunjung datang termasuklah pelancong asing.
SEJUK KATA MEREKA, MASUK SEPARUH BADAN JE DULU..HAHA

Memang sejuk betul air terjun, menggigil ketika mula-mula sampai untuk berendam. Tetapi, selepas seronok bersuka ria, kesejukan itu pon hilang begitu sahaja. 

Terdapat dua tempat air terjun, bahagian bawah dibenarkan untuk mandi, manakala bahagian atas tidak dibenarkan mandi dan diletakkan jaring sebagai tanda peringatan bahawa kawasan itu bahaya. Mungkin kerana kedalaman kawasan air terjun itu boleh membawa bahaya.
BAHAGIAN BAWAH AIR TERJUN, DIBENARKAN MANDI DI SINI...

Air terjun Kota Tinggi ini dilengkapi dengan pengawal keselamatan, tandas, beberapa pondok yang boleh disewa dan juga kedai makan. Kemudahan ini disediakan sepertimana taman tema atau kawasan rekreasi berbayar yang lain. 

Anda akan diberi diskaun jika berasal daripada Johor. Ketika membeli tiket di pintu masuk, pegawai anda bertanya nombor kad pengenalan anda. Tipsnya adalah, jika berkunjung bersama rakan-taulan, tunjuklah kad pengenalan rakan anda yang berasal daripada Johor, InsyaAllah dapat diskaun.
GELONGSOR AIR DAN TEMPAT ISTIREHAT TURUT DISEDIAKAN...

Gelongsor air turut dibina disini. Seronok juga kami semua berulang-alik menaiki gelongsor ini. Dengan adanya gelongsong air ini, barulah terasa seperti taman tema air. Puas bergelak ketawa macam budak-budak perasaannya.

Hampir dua jam lebih juga kami berada disini. Selepas puas berendam, bergelongsor, berenang dan mandi manda, semestinya perut jadi lapar. Jadi selepas bersiap membersihkan badan, kami beransur ke destinasi seterusnya.


Makan Belangkas Menu Tengah Hari...
GERAI BELANGKAS MAHKOTA, SELEPAS SELESAI MAKAN...

Destinasi untuk makan tengah hari, kami semua menuju ke Gerai Belangkas Mahkota, Kota Tinggi. Dikhabarkan gerai ini memang antara tempat panas bagi peminat setia belangkas. Jikalau lambat, memang habis belangkas, tinggal bekas sahajalah.

Kami juga perlu menempah terlebih dahulu menerusi panggilan telefon untuk memastikan belangkas tersedia untuk kami semua. Ternyata, ketika kami sampai jam 12.30 tengah hari, belangkas telahpon habis. Selamat kami tempah awal, dapat juga merasa belangkas.
NASI PUTIH, IKAN BAKAR DAN BELANGKAS MASAK ASAM PEDAS, TERBAIK...

Pertama kali merasa belangkas, bagi saya isinya rasa seperti ketam manakala telurnya rasa seperti hati ayam. Memang sedap betul. Makan pula bersama-sama nasi, memang layan.

Selain daripada belangkas masak asam pedas yang disediakan, ikan bakar dan lauk campur lain juga terdapat di gerai ini. Tetapi mestilah menu utama yang diburu adalah belangkas.

Alhamdullah, selepas selesai makan, kami kembali ke rumah nenek Faidsal untuk makan, berehat dan kembali pulang ke KL pada malamnya.


GAMBAR - GAMBAR KENANGAN...


KENDURI - BERGAMBAR BERSAMA PASANGAN ATAS PELAMIN

AKAD NIKAH - AMIK BERKAT

MAJLIS KENDURI - MASA NAK AMBIL SWAFOTO

MAJLIS KENDURI - INILAH HASIL SWAFOTO BERKENAAN

MAJLIS KENDURI - ROMBONGAN LELAKI MENUJU KE DEWAN

FOREST CITY - MUKA PENAT KE MUKA CERIA PON TAK TAHU LA

FOREST CITY - TUAN BLOG PON NAK AMIK GAMBAR JUGA

FOREST CITY - KETAM GERGASI BERSAMA JEJAKA HENSEM, PM FOR DETAILS..


FOREST CITY - ANTARA LANDMARK DI SINI

FOREST CITY - REPLIKA BANGUNAN

KILANG BATERI - IGUANA DAN ULAR TURUT DIPAMERKAN


KOTA TINGGI WATERFALLS - SEBELOM MASUK, MUKA TAK MANDI SEMUA

KOTA TINGGI WATERFALLS - SWAFOTO MENUJU AIR TERJUN

KOTA TINGGI WATERFALLS - BAHAGIAN ATAS, BAHAYA MANDI DISINI


SETINGGI-TINGGI PENGHARGAAN...
'EHEM-EHEM, MALULAH DAN SEGANLA' - REAKSI PENGANTIN LELAKI

Di kesempatan ini, saya mewakili rakan-rakan seperjuangan yang lain mengucapkan beribu-ribu tahniah dan selamat pengantin baru kepada pasangan Wan Muhammad Izzuddin dan Fathin Farihah. Semoga ikatan yang dibina berkekalan hingga ke akhir hayat.

Tidak dilupakan kepada mereka yang memudahkan urusan perjalanan kami semua. Terima kasih kepada En Zakaria (ayah Ahmad Syafiq) serta tidak dilupakan kepada nenek Faidsal yang menyediakan makan, minum tempat berteduh dan segala bantuan yang disediakan bagi memudahkan urusan perjalan kami. Terima kasih banyak-banyak.

Akhir sekali, terima kasih kepada rakan-rakan yang merancang, menguruskan serta membawa diriku ke tempat-tempat menarik untuk dilawati di sekitar Johor sepanjang percutian singkat 3 hari 2 malam. Terima kasih kepada :

1 - Rusydi Buchek
2 - Zulkarnain Mokhtar
3 - Syafiq Junaidi
4 - Ahmad Syafiq Zakaria
5 - Shahrul Azrein
6 - Faidsal Farid
7 - Nazrul Baharin
8 - Ali Akram
9 - Fitry Shukor
10 - Afiq Asyraf

Event : KENDURI WANIZZ DAN CUTI DI JOHOR
Tarikh : 27 - 29 JANUARY 2017
Tempat : JOHOR DARUL TAKZIM


~Setakat ini dulu entry untuk kali ini. Terima kasih kepada mereka yang sudi berkunjung ke blog keramat rahishan ini walapupon dah setahun tak update. InsyaAllah, jikalau ada cerita yang best untuk dikongsi, maka akan muncul entri baru dari masa ke masa ye. Rasa macam best jer, macam seronok je cerita yang saya tulis nie, mohon bagi satu like...terima kasih...~

Akhir kata, assalamualaikum dan semoga ceria-ceria selalu :-)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...