Monday, December 25, 2017

PERCUTIAN KE MEDAN, INDONESIA 2017 - PART 1


Assalamualaikum w.b.t,

Apa khabar kepada pembaca blog saya?. Harap sentiasa sihat la yer. Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog keramat saya nie. Seperti biasa, apabila ada perkara menarik untuk dikongsi, baru saya akan menulis kembali di blog ini.

Untuk entri kali ini, suka untuk saya berkongsi kepada anda semua tentang percutian saya dengan rakan-rakan ke Indonesia. Saya akan kongsikan gambar, cerita, aktiviti dan sebagainya.


Di KLIA2 Menantikan Flight Yang Delay

Ceritanya bermula apabila kami melawat ke MATTA FAIR untuk mencari destinasi menarik untuk dilawati bagi tahun 2017 pada September yang lepas. Selepas berbincang, jadi terus finalize dan tetapkan destinasi ke Indonesia atau lebih spesifiknya adalah ke Medan. Tiket promosi ke Medan yang ditawarkan oleh AirAsia adalah RM 173.70 pergi dan balik.
Swafoto Bersama Sebelum Memasuki Flight Ke Indonesia

Seterusnya, kami mencari agent untuk menguruskan perjalanan kami di sana dan dia akan bertindak sebagai tour guide kami disana nanti. Selepas bertanya rakan-rakan yang lain dan deal personal untuk runding harga, kami ditawarkan RM 550 seorang untuk perjalanan 5 hari 5 malam kami di sana dan kami bersetuju.

Jadi, untuk memudahkan penceritaan pengembaraan saya dan rakan-rakan, saya akan ceritakan aktiviti kami dalam bentuk diari diselangi dengan gambar-gambar yang saya rasakan menarik.

AYUH TERBANG KE INDONESIA

Departure - 22 November 2017
Excited Semua Nak Bercuti
11.30 PM : Terbang Ke Medan
Penerbangan kami dari KLIA2 bersama pesawat AirAsia ke Lapangan Terbang Kuala Namu, Medan. Penerbangan mengambil masa lebih kurang 40 minit sahaja untuk merentasi dua negara, Malaysia dan Indonesia. Beza antara waktu Malaysia dan Waktu Indonesia Barat (WIB) adalah satu jam. Misalnya, jika di Malaysia jam 11.00 PM, di Indonesia pula masih jam 10.00 PM.


11.45 PM (WIB) : Sampai di Kuala Namu, Medan
Alhamdulillah, selamat sampai ke Airport Kuala Namu, Medan. Memang seronok dan memang excited sebab saya pertama kali menjejakkan kaki ke Indonesia.
Sampai Di Kuala Namu Airport, Medan

Selepas berjumpa dengan Mas Dian yang merupakan tour guide ataupon supir kami di airport, kami terus dibawa ke Hotel Antares di Medan untuk bermalam di situ sebelum meneruskan perjalanan ke Danau Toba keesokan harinya.

Sebaik sahaja sampai ke hotel, tetiba perut rasa lapar, jadi kami bersetuju untuk supper sebelum tidur. Menu yang disarankan oleh tour guide  kami adalah nasi goreng dan murtabak mesir. Nasi goreng tak sedap sangat, tapi murtabak mesir memang sedap giler (mungkin sebab perut lapar sangat masa nie).
Murtabak Mesir - Late Supper Sebelum Tidur

Day 1 - 23 November 2017


10.00 AM (WIB) : Bergerak ke Danau Toba (Parapat)
Kami bergerak ke Danau Toba dengan menaiki kereta selepas bersarapan pagi di Hotel Antares, Medan. Jarak perjalanan dari Medan ke Danau Toba adalah sekitar 176 km. Memang jauh betul.
Check-Out Daripada Hotel Grand Antares, Medan
Bergambar Di Hadapan Hotel

Perjalanan kami dengan menaiki kereta menyusuri lima buah pekan dan diselangi dengan deretan sawah padi. Memang cantik dan menenangkan sehinggakan ada yang tertidur. Sebenarnya, kami semua tidur, driver sahaja tak tidur.
Swafoto Bersama Dalam Kereta Dengan Supir - Perjalanan Ke Parapat

1.45 PM (WIB) : Singgah di Kedai PATEN
Dalam perjalanan menuju ke Danau Toba, kami singgah sebentar ke Kedai Paten. Kedai Paten adalah kedai makanan ringan berasaskan kekacang. Nama kekacang yang diberi adalah Tang-Tang, Teng-Teng, Ting-Ting, Ping-Ping, Pang-Pang dan sebagainya.
Merasa Pelbagai Jenis Kekacang

Semestinya disini, anda boleh merasa pelbagai jenis kekacang yang telah diproses sebelum membuat keputusan untuk membeli atau tidak. Ikut selera masing-masing. Selepas merasa, yang mana sedap maka kami pon beli untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Beli Paten Yang Berkenan Di Hati 

Untuk pengetahuan anda, 5 kotak pelbagai jenis kekacang paten ini berharga 100,000 IDR bersamaan dengan lebih kurang RM 30. Ikut bajet duit masing-masing, jikalau bawa duit lebih boleh la beli banyak.
Boleh Tengok Pelbagai Nama Paten Dalam Gambar Ini

2.30 PM : Lunch di Panorama Restoren
Perjalanan memang jauh, jadi tak dapat disangkal perut akan menjadi lapar. Walaupon baru sahaja singgah di kedai Paten untuk alas perut dengan makanan kekacang, semestinya tidak cukup. Jadi, kami dibawa ke restoren Panorama, dimana kami dijamu dengan masakan minang melayu.
Sempat Dulu Bergambar Walaupon Perut Tengah Lapar

Yang bagusnya kedai makan di Indonesia ini adalah, setiap kali menjamu selera, kami akan dihidangkan bersama segelas air kosong. Mungkin sudah menjadi kebiasaan di serata Indonesia untuk melakukan hal ini. Setiap kali makan mesti air kosong dihidang bersama.
Selamat Menjamu Selera

3.45 pm (WIB) : Check-In di Hotel Patra Comfort, Parapat
Alhamdulillah, setelah hampir 5 jam lebih perjalanan, kami selamat sampai di Hotel Patra Comfort, Parapat. Hotel ini terletak di kawasan bukit dan berhampiran Danau Toba (Tasik Toba). Sememangnya, pemandangan yang begitu cantik tak terungkap dengan kata-kata.
Semua Sibuk Nak Ambil Gambar - Terpesona Dengan Kecantikan Pemandangan

Saya belanja sikit pemandangan mode panorama di sekitar Hotel Patra Comfort dan Lake Toba ini. Memang cantik ya amat dan semestinya menenangkan. Jadi, masa petang kami dihabiskan dengan mengambil gambar, bersiar-siar dan beristirehat di sekitar hotel sebelum tibanya waktu makan malam.


View Panorama - Pemandangan Danau Toba Daripada Hotel
Bersia-siar Di Sekitar Kawasan Hotel - Ada Kebun Bunga Kecil Disini
Nampak Betul Melayani Perasaan Tu..


7.30 PM (WIB) : Dinner Di Kafe & Resto Pak POS
Setibanya waktu makan malam selepas mandi dan bersiap siaga, kami dibawa ke Kafe Pak Pos di Parapat. Kafe design ala-ala hipster. Kafe ini menyediakan pelbagai jenis masakan daripada bergoreng sehingga makanan bersup.
Design Di Hadapan Kafe & Resto Pak Pos

Menurut tour guide kami, kafe ini antara kafe yang femes dengan pelbagai jenis mee berserta sup ayam. Supnya memang sedap, tapi kami seperti biasa memilih untuk order makanan yang berbeza supaya kami dapat merasa pelbagai jenis makanan dan citarasa.
Swafoto Bersama Semasa Makan

Selepas makan, kami singgah sebentar di mart berhampiran untuk membeli sedikit makanan segera untuk dijadikan bekalan jikalau lapar di tengah malam nanti.

Konklusi Hari Pertama : Medan - Parapat (Danau Toba)
"Tiada aktiviti sangat untuk hari ini kerana kami travel jauh dari Medan ke Parapat. Sedikit aktiviti shopping untuk membeli kekacang disamping menikmati pemandangan perjalanan jauh dan betapa cantiknya Danau Toba."

Day 2 - 24 November 2017


7.30 AM (WIB) : Sarapan Pagi di Hotel Patra Comfort
Bangun sahaja daripada tidur, sebelum meneruskan aktiviti untuk hari kedua, semestinya perut harus diisi terlebih dahulu. Kami sarapan pagi di hotel sahaja kerana memang ini termasuk dalam package pembayaran perjalanan kami.
Breakfast Di Hotel Patra, Parapat

Selepas bersiap siaga, mandi dan kemas barang semuanya, kami check-out daripada Hotel Patra Comfort, Parapat dan menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pulau Samosir.
Bergambar Di Hadapan Hotel Selepas Check-Out


9.10 AM (WIB) : Melawat Pulau Samosir
Dari hotel, hanya 10 minit sahaja untuk menuju ke jeti yang membawa pelawat ke Pulau Samosir. Kami menaiki bot menuju ke Pulau Samosir.
Atas Bot Sebelum Menuju Ke Pulau Samosir
Perjalanan kami dari jeti ke Pulau Samosir menaiki bot mengambil masa selama 45 minit merentasi Danau Toba. Semestinya pemandangan yang luar biasa cantik sepanjang kami merentasi Danau Toba. Memang spectacular.
Cantik Betul View - One Of My Best Shot I guess...
Tenangkan Fikiran Anda Sambil Menyusuri Danau Toba
Setengah Perjalanan Dari Jeti Ke Pulau Samosir
Feling Betul Naik Bot Nie...

10.00 AM (WIB) : Pelabuhan Penyeberangan Tomok, Pulau Samosir
Selepas begitu menikmati panorama nan indah di sepanjang perjalanan kami ke Pulau Samosir, akhirnya kami sampai di Pelabuhan Penyeberangan Tomok. Pulau Samosir adalah pulau tempat asalnya suku kaum Batak di Indonesia. Tomok bermaksud besar, gempal, gemuk dan sewaktu dengannya menurut orang Batak.
Bergambar Di Hadapan Pintu Masuk Menuju Ke Kawasan Perkampungan Orang Batak

Horas bermaksud hi, hello, apa khabar dan sewaktu dengannya. Disini, kami dibawa melawati di sekitar pulau melihat budaya, seni bina dan mempelajari sedikit sebanyak mengenai suku kaum Batak ini.
Selamat Datang Ke Pelabuhan Penyeberangan Tomok

Sebaik sahaja sampai, kami dibawa ke makam perkuburan raja-raja orang Batak dan diterangkan mengenai asal usul dan sejarah orang Batak di mana raja pertamanya iaitu Raja Sidabutar adalah orang pertama yang menjejakkan kaki di kepulauan ini. Menurut penerangan yang disampaikan, orang Batak ini diibaratkan seperti cicak kerana dimana sahaja ada cicak, disitu pastinya ada orang Batak.
Wakil Penduduk Menceritakan Sejarah Raja-Raja Orang Batak
Kanan adalah Makam Raja Pertama, Tengah Makam Raja Kedua dan Kiri Makam Raja Ketiga
Selepas Selesai Mendengar Cerita Orang Batak - Ada Cicak di Belakang Saya tu...

Selepas selesai mendengar penerangan dan sejarah orang Batak, kami dibawa untuk menyaksikan keramaian masyarakat orang Batak. Disini, terdapat patung yang menari dengan sendirinya. Pengunjung boleh menyertai keraimaian ini dengan menari bersama sambil memakai selempang yang merupakan adat pakaian masyarakat Batak.
Pengunjung Boleh Turut Serta Tarian Tradisi Orang Batak
Patung Yang Dikatakan Menari Dengan Sendirinya Itu - Tangan Dia Macam Gaya Iron Man 
And The Kid Said : Ngapain Ini 3 Orang? Gaya Apakah Ini?

Selepas puas bergambar dan sekitar kawasan perumahan masyrakat Batak, tiba masanya untuk kami pulang. Semestinya, sepanjang laluan untuk ke pelabuhan, terdapat banyak kedai-kedai kecil menjual pelbagai cenderahati daripada keychain, baju, topi dan sebagainya.
Antara Sourvenirs Yang Boleh Dibeli Di Pulau Ini
Tengah Fikir Berpatutan Ke Tak Beli Ini - Beli Buat Hadiah Budak Ofis Kata Mereka


12.30 PM (WIB) : Lunch Di Restoren Minang Gumarang, Parapat
Sebaik sahaja kembali kami ke darat daripada Pulau Samosir, kami di bawa ke Restoren Minang Gumarang untuk makan tengahari. Restoren ini juga menyediakan masakan melayu minang dengan ulam-ulaman. Sesuai dengan selera kami yang sememangnya tengah lapar.


Restoran Minang Gumarang
Nampak Banyak Betul Sayur Tu - Masa Ini Ayam Goreng Tak Sampai Lagi

Alhamdulillah, sebaik sahaja kenyang selepas makan tengah hari, maka kami pon berangkat ke destinasi seterusnya iaitu Brastagi.


1.45 PM (WIB) : Singgah Rehat Di Simarjarunjung Rest House
Masih dalam perjalanan ke Brastagi dari Parapat, namun kami berhenti seketika di Simarjarunjung Rest House untuk recharge. Simarjarunjung Rest House ini terletak di kawasan tertinggi sekali di atas bukit dan tatkala sampainya kami semua, memang cuaca sedikit mendung, berkabus dan ditemani gerimis.
Arrghhhh....Sampai Di Simarjarunjung Rest House...Recharge..
Pemandangan Berkabus Dan Sedikit Gerimis Ketika Kami Sampai

Disini, kami dipelawa untuk minum teh halia yang dikatakan begitu kaw menurut supir kami. Untuk pengetahuan anda, teh halia yang kaw ini rasa seperti sup halia pekat dan sedikit manis. Selamat saya order kopi susu sebab saya bukan penggemar teh halia.  Sememangnya, teh halia panas dan pisang goreng sedikit sebanyak menghangatkan kembali badan kami.
Swafoto Sambil Menikmati Teh Halia Kaw dan Kopi Susu

Setelah hampir setengah jam berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan kami ke Brastagi. Harga bagi secawan teh halia beserta pisang goreng di Simarjarunjung Rest House ini adalah 22000 IDR lebih kurang RM 6.



3.15 PM (WIB) : Singgah Di Air Terjun Sipiso-Piso
Masih dalam perjalanan ke Brastagi tetapi kami berhenti seketika di kawasan air terjun Sipiso-Piso. Air terjun berketinggian 110 meter ini berhampiran bukit dan kawasan kebun. Sememangnya cantik pemandangannya. Namun, ketika kami sampai, cuaca hujan agak lebat dan menjadikan air terjun ini sedikit keruh. Dikatakan pada hari biasa, air terjun ini sangat jernih dan bersih.
Pemandangan Air Terjun Sipiso-Piso Daripada Kawasan Atas
  
Jika anda perasan, dalam gambar diatas, terdapat deretan tangga (laluan) dan rumah (pondok kecil) menuju ke bahagian bawah air terjun. Walaupon hujan, kami menggagahkan diri untuk menuruni laluan anak tangga buatan yang dikatakan sebanyak 1000 anak tangga ini. Perjalanan berliku menuruni anak tangga ke bahagian bawah air terjun mengambil masa selama 45 minit lebih kurang. Memang satu kepuasan apabila sampai ke bawah kawasan air terjun ini.
Yeay..Dah Sampai Kawasan Bawah Air terjun
Nampak Tak Air Terjun Tu..Cantikkan?...Sejukkk...
Senyummm - Kena Bawa Henset Waterproof Lain Kali..

Setelah puas bergambar di kawasan bawah air terjun, maka azabnya terasa apabila hendak mendaki kembali ke bahagian atas. Dinasihatkan anda membawa walking stick untuk membantu anda mendaki kembali anak tangga agar tak lenguh otot-otot dan urat-urat kaki.
Azab Mendaki Tetapi View Memang Sedikit Sebanyak Menghilangkan Penat Semestinya
Rehat Sebentar Di Pertengahan Jalan

Alhamdulillah, setelah berhenti beberapa kali dalam usaha mendaki anak tangga kembali ke atas sambil menikmati akan indahnya pemandangan sekitar kawasan air terjun, maka perjalanan ke Brastagi diteruskan. Lenguh dan sakit kaki semestinya terasa.



6.05 PM (WIB) : Check-In Di Hotel Green Garden, Brastagi
Pabila dihitung, termasuk dua perhentian di Simarjarunjung dan air terjun Sipiso-piso, hampir 5 jam lebih juga perjalanan dari Parapat ke Brastagi. Alhamdulillah, sebaik sampai sahaja di Brastagi, kami dibawa untuk menetap di Hotel Green Garden. 
Swimming Pool Betul-Betul Di Hadapan Bilik, Boleh Mandi Bila-Bila Masa - Tapi Sejuk kott..
Keadaan Katil Masih Elok Sebelum Korang Lompat

Disebabkan kawasan Brastagi ini adalah kawasan tanah tinggi, jadi kawasannya memang teramat sejuk. Walaupun terdapatnya, swimming pool, namun bilik disini tidak mempunyai penghawa dingin. Nasib baik terdapat shower air panas. Jikalau tidak, menggigil setiap kali mandi. Kami bersiap siaga, settle down sebelum menanti tibanya waku makan malam.



7.40 PM (WIB) : Dinner Talapia Bakar Di Warung Muslim Pak Koko
Tatkala tibanya waktu makan malam, kami dibawa ke warung tepi jalan untuk makan ikan talapia bakar. Menurut supir kami, warung ini memang begitu sedap akan ikan bakarnya.
Sebelum Makan, Kita Swafoto Bersama Dahulu
Serius, Ikan Talapia Bakar Memang Padu Giler beb..!!..Sedaaapp...

Tidak dapat dinafikan, ikan talapia bakar di Warung Muslim Pak Koko ini sememangnya one of the best place to eat. Semestinya jika berkunjung ke Brastagi lagi, memang akan repeat.  Sambal merah yang tak kurang pedasnya, digabungkan dengan sambal kicap yang tak kurang manisnya, dihidang bersama ikan talapia berempah serta sup dan ulam-ulaman memang padu beb..!!! Terbaik.Memang recommended untuk cuba.
Alhamdulillah, Muka Puas Je Semua...Clear Ikan Tinggal Tulang Sahaja

Alhamdulillah, selesai makan malam ikan talapia bakar, kami beransur pulang ke hotel untuk rehat dan menanti aktiviti menarik akan esoknya. Tetapi, dalam perjalanan pulang ke hotel, boleh pula supir kami recommend roti bakar. Tanpa berfikir panjang, kami pon terus beli roti bakar untuk dijadikan late supper.
Say 'Arrghhhh' Dengan Harapan Nampak Wap Keluar Dari Mulut Masa Ambil Gambar, Tapi Tak Nampak Pulak..
Roti Bakar Indonesia Dengan Perisa Coklat dan Blueberi...Boleh la...

Tidak cukup dengan ikan bakar, kini roti bakar pula. Terdapat pelbagai perisa daripada strawberi, blueberi, mentega, coklat dan juga boleh dicampur. Jadi, kami beli dua roti bakar dengan harga 12000 IDR setiap satu ataupun RM 3.50 setiap satu untuk dibawa pulang ke hotel. Pada pendapat saya, rasa roti bakar ini tidak la sesedap mana sebenarnya kerana diletakkan butter terlampau banyak sehingga menjadikan roti bakar sedikit masin dan mengganggu rasa perisa yang diminta. Mungkin selera orang Indonesia suka akan mentega diletakkan banyak dalam roti bakar.

Konklusi Hari Kedua : Parapat (Danau Toba) - Brastagi
"Aktiviti bermula dengan melawat kepulauan orang Batak iaitu Pulau Samosir. Merentasi Danau Toba yang begitu cantik dan menenangkan. Selepas lunch, berangkat ke Brastagi dan berhenti di Simarjarunjung Rest House dan Air Terjun Sipiso-piso. Pada malamnya, makan Ikan Talapia bakar di Warung Muslim Pak Koko dan roti bakar."

Cukup sampai di sini dahulu akan coretan perjalanan saya dan rakan-rakan ke Indonesia. Ini adalah bahagian pertama bagi pengembaraan kami ke Indonesia. InsyaAllah, jikalau berkelapangan, saya akan sambung entri bahagian kedua nanti dan saya akan kongsi lebih banyak gambar semestinya.

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog keramat saya di sini. Nantikan sambungan travelog pengembaraan saya dan rakan-rakan di Indonesia dalam entri akan datang. Semoga bertemu lagi dalam entri akan datang.

Sekian, terima kasih kerana sudi baca. Like sikit. (Senyum)

#perjanjiantakberdarah #whathappensinmedanstaysinmedan #travel2017 #penciptamemori

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...