Sunday, June 23, 2019

NOVEL PEMBURU BAHAGIA


Assalamualaikum w.b.t,

Terima kasih kepada mereka yang sudi berkunjung ke blog saya ini. Entri kali ini khas untuk mempromosikan sebuah karya novel yang ditulis oleh rakan zaman sekolah rendah saya. Seperti yang dapat dilihat pada gambar, novel ini bertajuk Pemburu Bahagia. Novel berunsur cinta menampilkan watak utama Afifa Fitiya dan beberapa watak penting lain seperti Nazhirul Hanif, Abid Muttaqin dan sebagainya.

Boleh Dapatkan Novel Pemburu Bahagia di MPH yang terdekat

Sedikit sebanyak sinopsis yang diceritakan adalah seperti berikut. Afifa Fitiya yang diterima bekerja sebagai personal assistant di Black Knight Home Design menemukan dia dengan tujuh orang jejaka dengan karakter dan personaliti yang berbeza.

Nazhirul Hanif yang panas baran dan workaholic; Abid Muttaqqin yang tenang dan penuh dengan karisma; Halim Zahidin yang kacak dan kebudak-budakkan; Nabil Amin yang sentiasa ceria dan menghiburkan; Adnan Syafi yang perfectionist dan memiliki senyuman yang manis; Ariqqin Naufal yang rajin dan sukakan dunia fotografi dan fesyen; dan Affan Sadid yang pendiam dan penuh dengan rahsia.

Pertemuannya dengan tujuh jejaka itu mengajarnya erti persahabatan, kekeluargaan, bahagia dan derita, kesabaran, kesetiaan dan kasih sayang. Segala suka dan duka, jerih dan perih dapat dihadapi dan diharungi selagi mereka bersama.

Pergaduhan Nazhirul Hanif dengan keluarganya mempertemukan dia dengan Abdul Hamid, seorang lelaki separuh usia yang tinggal di utara tanah air. Saat Hanif hampir berputus asa, lelaki itu muncul mengajar Hanif untuk mendekatkan diri kepada Allah.

“Hanif tahu tak, bila kita niat untuk buat sesuatu kebaikan, Allah dah bagi pahala untuk niat baik kita tu. Tapi, bila kita berniat untuk buat jahat, Allah tak bagi dosa untuk niat jahat kita tu. Betapa Allah itu Maha Pemurah dan Maha Pengasih pada hamba-hamba-Nya.” - Pak Cik Hamid

Baru sahaja Nazhirul Hanif ingin mengenal erti bahagia, abangnya, Naim Haikal muncul memusnahkan segalanya. Persahabatan dan kesetiaan yang terbina sekian lama runtuh sekelip mata dengan agenda-agenda jahatnya. Satu demi satu tragedi hitam yang menimpa mereka menambahkan lagi luka dalam hati Nazhirul Hanif yang sudah sekian lama berdarah.

Dapatkah mereka mempertahankan persahabatan dan kesetiaan yang dianyam sekian lama? Atau mungkinkah semuanya akan hancur berkecai dek dugaan yang melanda? Adakah Nazhirul Hanif akan bertemu dengan bahagia yang dicari bersama Afifa Fitiya atau dia akan terus menanggung derita yang menyelubungi sekian lama?

Bagaimana Cara Mendapatkan Novel Pemburu Bahagia
Beli Novel Pemburu Bahagia di MPH Midvalley

Novel Pemburu Bahagia karya Hidayatulhusra yang diterbitkan oleh Karyaseni mempunyai 480 halaman mukasurat. Harga senaskah novel ini adalah RM 22 bagi semenanjung Malaysia manakala di Sabah dan Sarawak harganya adalah RM 25. Novel ini boleh ditempah secara online di laman sesawang mph online (sila klik) ataupon boleh merujuk facebook page Karya Seni (sila klik) untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara tempahan dan pembelian.

Saya beli novel ini terus di kedai buku MPH dalam Midvalley dengan harga RM 22.00 satu. Jikalau beli online seperti tertera di FB page Karya Seni boleh dapat diskaun dan harganya hanya RM 19.00 (mungkin untuk masa terhad sahaja). Tetapi saya nak cepat, jadi saya pergi sahaja ke cawangan MPH dan cari novel ini. Saya akan cuba habiskan novel ini memandangkan rakan sekolah saya yang menulisnya. Semoga saya cepat hadam novel ini.

Pengajaran Setelah Selesai Membaca Novel Pemburu Bahagia
Dah habis baca novel ini...bestt...

Saya membeli novel ini pada 12 Mac 2019 dan mula membaca 13 Mac 2019. Saya mengambil kurang daripada dua minggu untuk menghabiskan novel ini. Saya selesai membaca novel ini pada 21 Mac 2019. 

Pada pengamatan saya, saya suka bagaimana setiap watak diperkenalkan dalam novel ini, begitu tersusun dan tepat pada waktunya. Saya suka juga bagaimana setiap satu watak boleh berkait antara satu sama lain dan memberi impak besar mahupon kecil terhadap watak-watak lain. Ada diantara bab yang merujuk kepada saat flashback dan moment ini dikarang dengan begitu bagus oleh penulis.   

Jadi disini suka untuk saya kongsi beberapa pengajaran yang saya dapat apabila membaca Novel Pemburu Bahagia karya Hidayahtulhusra ini. Ini adalah novel pertama yang saya baca yang berunsurkan cinta, persahabatan dan kekeluargaan.

Pertama, jangan sesekali kita menghukum atau membuat andaian terhadap personaliti seseorang disaat pertama kali kita berjumpa dengannya. Mungkin orang yang pendiam itu bukan sombong tetapi menyimpan seribu satu kisah yang menyebabkan dia jadi begitu.

Kedua, adakalanya kita terpaksa melakukan sesuatu yang bukan kehendak kita untuk menjaga kepentingan orang yang kita sayang walaupon kita mungkin terpaksa menyakiti hati orang lain.

Ketiga, jangan mudah percaya dan terpedaya dengan sesuatu cerita tanpa usul periksa terlebih dahulu. Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Keempat, kita seharusnya pandai untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya. Jangan terlalu mengejar kerjaya sehingga keluarga porak- peranda.
Boleh Dapatkan di MPH Nu Sentral Juga 

Sebenarnya, banyak lagi pengajaran yang terdapat dalam novel ini. Boleh dapatkan dan baca sendiri novel Pemburu Bahagia karya Hidayahtulhusra untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Setakat ini dulu entri ini, jangan lupa support karya kawan saya ini dengan mendapatkannya dengan kadar segera. Terima kasih dan jumpa lagi di entri lain.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...