Wednesday, November 13, 2019

TOLAK TAWARAN KERJA KERAJAAN


Assalamualaikum kepada semua. Entri kali ini adalah rentetan mengenai proses pencarian kerja saya. Pada entri sebelum ini, saya ada menulis mengenai pengalaman saya ditemuduga sebagai Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi gred DH41. Saya sungguh tidak menyangka penulisan itu telah dikongsi oleh begitu ramai orang. Diharapkan entri tersebut sedikit sebanyak membantu khususnya kepada mereka yang bersedia untuk jawatan itu. 

Alhamdulillah, saya sebenarnya layak dan dapat tawaran sebagai pegawai pendidikan tersebut namun setelah ditimbang kira dan difikir sebaiknya, maka saya terpaksa menolak tawaran tersebut atas sebab peribadi dan kerana beberapa perkara.

Surat arahan melapor diri

Setelah menghadiri taklimat lapor diri yang telah dianjurkan di Kementerian Pendidikan Malaysia, saya berasa amat terkejut dan rasa sungguh tidak bersedia untuk memikul jawatan yang ditawarkan. Secara jujurnya, saya menolak jawatan yang ditawarkan bukan kerana saya tidak sanggup menerima jawatan itu, akan tetapi saya menolaknya kerana rasa ianya satu keputusan yang sungguh terburu-buru.


Semestinya saya minta penangguhan untuk berkhidmat tetapi tidak diluluskan. Jadi, setelah bertanya akan kenalan serta berbincang dengan ibu bapa serta pegawai yang memberi taklimat, maka pada pengamatan saya, keputusan untuk menolak tawaran adalah keputusan paling tepat pada saat itu.
Deskripsi tugas sebagai Pegawai Pengajian Tinggi secara umum

Untuk pengetahuan, saya ditawarkan berkhidmat diluar kawasan semenanjung Malaysia. Ini bermakna, saya akan berkhidmat dan ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Namun, pada pandangan saya, jika saya tidak bersedia dari segi fizikal dan mental, semestinya sukar untuk saya berkhidmat dengan sebaiknya.

Sejujurnya, sedikit pon saya tidak rasa rugi walaupon mungkin ada yang beranggapan sebaliknya. Bagi saya, jika bukan rezeki saya, semestinya ada yang lebih layak untuk menggalas jawatan berkenaan. Saya yakin dan percaya, bahawa anda sendiri yang lebih mengenali dan memahami diri anda. Jadi, tidak perlu rasa rugi atau sebagainya. Setiap yang berlaku pasti ada sebab tersendiri. Berdoa untuk yang lebih baik pada masa akan datang. 

Nasihat dan Tips
Pastikan anda buat perkara ini. (credit : photo by Lukas from Pexels)

Jika ada diantara pembaca yang baru sahaja ditawarkan tawaran ini, pastikan anda ambil langkah yang sepatutnya secepat mungkin. Langkah yang saya maksudkan adalah dengan anda sendiri mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak yang berkenaan dan bertanyakan dengan lebih lanjut akan sebarang maklumat yang anda rasakan tidak lengkap dan apakah tindakan yang anda harus lakukan.

Misalnya, saya terima surat lapor diri memang begitu lama, awal sebulan saya rasa, namun didalam surat itu tidak dinyatakan perkara yang harus saya lakukan selain daripada waktu dan tempat lapor diri disamping tentatif taklimat. Jadi, saya beranggapan bahawa semuanya akan diterangkan ketika taklimat.

Apa yang saya tidak tahu adalah, saya perlu menghubungi sendiri tempat yang telah saya ditawarkan untuk mengajar dan menguruskan semuanya sendiri. Disebabkan tiada pengalaman bekerja dalam sektor kerajaan, jadi saya tidak tahu akan perkara itu. Natijahnya, saya terpaksa tolak akan tawaran itu.
Contoh Pakaian Formal (credit : bizjournals.com)

Satu lagi peringatan, pastikan anda pakai pakaian lengkap dan fomal ketika menghadiri taklimat. Ternyata kerja kerajaan memang mementingkan etika pakaian fomal. Formal yang saya maksudkan disini adalah, baju kemeja lengan panjang, bertali leher, blazer, kasut hitam, seluar hitam dan jika boleh pastikan ada tag nama (tulisan putih berlatar belakang warna hitam). Saya ingat akan perkara ini kerana orang yang memberi taklimat sentiasa 'mengingatkan' (baca : bahan) saya ketika dia memberi taklimat.
Tahniah Kepada Anda Yang Berjaya

Akhir kata, kepada lapan calon tenaga pengajar lain (batch 4) yang turut bersama-sama saya menghadiri taklimat tempoh hari, saya doakan anda semua menjalankan tugas anda sebaik mungkin walau dimana anda ditempatkan sekalipon dan semoga berjaya.


Itu sahaja untuk penulisan kali ini, berjumpa lagi lain masa. Assalamualaikum. (Terima kasih kepada anda yang bertanyakan soalan kepada saya secara peribadi, saya harap sedikit sebanyak saya dapat membantu anda semua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...